UCAPAN ALUAN PENGARAH AHLI JAWATANKUASA KHAS PILIHANRAYA KPIPM SESI 2014/2015
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Segala pujian hanya bagi Allah tuhan sekalian alam, yang
mengutuskan hamba-hambaNya di atas dunia ini sebagai khalifah. Selawat dan
salam ke atas nabi mulia Muhammad SAW sebagai hamba dan utusan-Nya serta para
sahabat R.A.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang
berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah
kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang
sebaik-baiknya kepadamu.”
(An-Nisa : 58)
Sebagai muqaddimah ucapan selaku Pengarah SPR bagi sesi
2014/2015, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak KPIPM kerana telah
memberikan kepercayaan kepada saya serta seluruh AJK yang lain untuk
mengendalikan SPR pada tahun ini. Tiadalah daya dan kudrat pada diri kami ini
melainkan dengan pertolongan Allah SWT semata-mata.
Sebagaimana ayat Al-Quran yang telah saya sebutkan tadi, amanah
adalah suatu perbuatan yang lazim bagi seorang manusia. Mana-mana keadaan,
tempat dan waktu sekalipun, pasti akan ada tanggungjawab yang mesti dipikul.
Apatah lagi sebagai sebuah organisasi Islam yang membawa dan berpegang dengan
ajaran nabi Muhammad SAW sudah tentu soal kepimpinan mesti dititikberatkan.
Maka, sehubungan itu, dengan berpandukan buku perlembagaan
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) pada bahagian KEEMPAT :
MESYUARAT AGUNG DAN PILIHANRAYA/BAHAGIAN KEDUA : PERKARA21-PILIHANRAYA dan
PERATURAN AM PILIHANRAYA, secara rasminya kami, Suruhanjaya Khas Pilihan Raya (SPR)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir mula berkuatkuasa pada hari ini
iaitu 1 September 2015 bersamaan 17 Zul Qaedah 1436 Hijrah. Kami doakan agar
proses pilihanraya ini diberkati dan diredhai oleh Allah SWT dan segalanya
dapat berjalan dengan lancar.
Sekian, Siiru ‘ala barakatillah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
“ADIL,
CEKAP, AMANAH”
Muhamad Ariff bin Khushairi
Pengarah,
Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015
Ulasan
Catat Ulasan